Langkah penjagaan haiwan peliharaan ketika wabak COVID-19

Zoe
April 6, 2020
penjagaan haiwan
pet insurance

PAWer Insurance

Pet Insurance Without Paying Vet Bills Up-Front Signup in minutes. Protect your pets with us for accidents & illness.

Get Quotation
BARU-BARU ini, sepasukan penyelidik di Hong Kong melaporkan dua ekor anjing didapati positif COVID-19 melalui ujian reaksi polimerase berantai (PCR).

BARU-BARU ini, sepasukan penyelidik di Hong Kong melaporkan dua ekor anjing didapati positif COVID-19 melalui ujian reaksi polimerase berantai (PCR). Ini diikuti dengan laporan seekor kucing yang positif jangkitan itu di Belgium di mana ia menunjukkan simptom pernafasan dan cirit-birit.

Laporan ini pasti telah menimbulkan rasa panik dalam kalangan pemilik haiwan peliharaan. Di luar negara, ada yang bertindak membuang haiwan peliharaan mereka kerana takut dijangkiti.

Adakah haiwan peliharaan anda boleh dijangkiti dan menyebarkan COVID19?

Menurut laporan Pertubuhan Dunia untuk Kesihatan Haiwan (OIE), kes jangkitan daripada manusia kepada haiwan ini adalah kes terpencil.

Buat masa ini, tiada bukti yang jelas bahawa virus SARS-CoV2 punca penyakit COVID-19 yang menjangkiti haiwan peliharaan seperti anjing dan kucing boleh merebak kepada manusia atau haiwan lain.

Saringan besar-besaran sedang dan masih dijalankan oleh pihak berkuasa di China dan makmal diagnostik veterinar di Amerika Syarikat ke atas sampel anjing dan kucing dan setakat ini mendapati tiada sampel positif dijumpai.

Jangkitan daripada manusia kepada haiwan bukan sesuatu yang baharu. Semasa wabak SARS pada tahun 2003 di Hong Kong, sejumlah kucing dan anjing didapati positif, namun tiada bukti penyebaran virus boleh terjadi kepada manusia.

Buat masa ini, tiada laporan daripada kalangan doktor veterinar berkenaan peningkatan penyakit berkaitan pernafasan dalam kalangan haiwan peliharaan.

Secara kesimpulannya, pemilik haiwan peliharaan tidak perlu panik dengan laporan ini, sebaliknya perlu mengamalkan kebersihan diri semasa mengendalikan haiwan peliharaan.

Apakah langkah yang boleh diambil oleh pemilik haiwan peliharaan pada masa ini?

Beberapa saranan penting telah dikeluarkan daripada pihak Pusat Kawalan Penyakit (CDC), OIE dan Pertubuhan Doktor Veterinar Haiwan Kesayangan Sedunia (WSAVA) mengenai kontak dengan haiwan kesayangan sepanjang pandemik COVID-19.

Jika haiwan peliharaan sememangnya dibela di dalam rumah, kekalkan ia di dalam rumah. Namun begitu, sesetengah pemilik haiwan selesa membiarkan haiwan peliharaan di luar rumah.

Secara amnya, langkah pencegahan penularan kepada manusia yang disarankan boleh juga diamalkan ke atas haiwan jika anda mempunyai simptom COVID-19.

Pemakaian penutup muka, elakkan mencium dan memeluk haiwan peliharaan dan yang paling penting, amalkan membasuh tangan sebelum dan selepas mengendalikan haiwan peliharaan anda adalah langkah-langkah yang boleh diambil pemilik haiwan.

Di waktu perintah kawalan pergerakan ini, banyak kes kucing jalanan yang terbiar kebuluran dan pelbagai pihak mengambil inisiatif untuk memberi makanan kepada kucing jalanan.

Inisiatif sukarelawan ini amatlah dipuji dan amalan langkah kebersihan diri juga perlu diambil perhatian oleh mereka.

Adakah virus SARS-CoV boleh dipindahkan melalui sentuhan ke atas haiwan?

SARS-CoV2 boleh merebak melalui titisan dan boleh berada pada permukaan rata untuk tempoh beberapa jam.

Sebaliknya, bulu haiwan adalah berliang dan risiko untuk virus merebak melalui sentuhan haiwan adalah amat rendah.

Jika anda masih risau haiwan peliharaan anda mungkin terdedah kepada individu yang berkemungkinan positif COVID-19, anda disarankan untuk memandikan haiwan anda.

Apakah yang perlu anda lakukan seterusnya jika anda didapati positif COVID19?

Tempoh jangka masa bagi pesakit COVID19 jika tiada simptom untuk menjalani isolasi ialah sekurang-kurangnya 14 hari dan mungkin lebih panjang jika pesakit mempunyai simptom.

Ini semestinya tempoh yang sukar untuk pesakit dan haiwan peliharaan yang berada di dalam jagaan mereka.

Kebajikan haiwan wajib dijaga sepanjang anda berada di hospital untuk isolasi.

Kita tidak mahu situasi di mana anjing dan kucing terbiar atau lebih teruk lagi, mati kelaparan ditinggalkan.

Kenal pasti ahli keluarga atau rakan-rakan yang dapat membantu memberi makanan dan air sepanjang ketiadaan anda dan bekalkan mereka dengan bekalan makanan yang mencukupi.

Peranan haiwan peliharaan semasa tempoh perintah kawalan pergerakan

Tidak dapat dinafikan, memiliki haiwan peliharaan dapat memberikan impak yang positif terutamanya semasa tempoh perintah kawalan pergerakan.

Berada di rumah untuk jangka masa yang panjang boleh memberikan satu tekanan, lebih lagi dengan lambakan maklumat di media sosial berkaitan pandemik COVID-19 yang secara tidak langsung boleh memberikan kesan negatif kepada emosi seseorang.

Banyak kajian telah dijalankan mengenai interaksi antara haiwan peliharaan dan manusia ke atas kesejahteraan emosi individu.

Jelas bahawa, haiwan peliharaan memainkan peranan penting sebagai teman, dan sistem sokongan sosial yang kuat kepada individu.

Akhir kata, saya menyeru supaya semua pihak supaya tidak mengabaikan haiwan peliharaan anda sepanjang ujian yang mencabar ini.

Ia juga perlu disayangi!

Dr Farina Mustaffa Kamal ialah Pensyarah Kanan dalam bidang Imunologi Veterinar di Jabatan Patologi dan Mikrobiologi Veterinar, Fakulti Perubatan Veterinar, UPM.

Beliau aktif menjalankan penyelidikan berkaitan koronavirus dan penyakit berjangkit di dalam kucing.

Sumber: Astro Awani

PetotumBIZPet Apps

Be Part Of Petotum Family

We’re here to connect petcare services & pet parents together in a unified ecosystem filled with love.

Download Petotum App